Wednesday, April 13, 2011

Kalau dah gila talak!!!

Haihhh.. Ni ada kisah benar nak cerita ni.. Aku ingat cerita ni ada kat tv je.. Sekali benar-benar kejadian! Hehehe.. Eh, pesal gelak pulak! Betul ni, cerita tak tipu punya..

Okeh, meh sini aku cerita.. Sejak dua menjak ni ada long lost friend En. Hubby dah start calling-callilng En. Hubby.. Message-message la.. Aku pun macam pelik.. Apehal mangkuk ni! Tiba-tiba berbaik semacammmm je kan? Tapi aku takde la tanya En. Hubby ke apa kan.. Tak kisah la, kawan dia.. Tapi hari tu tengah aku keluar dengan En. Hubby mangkuk ni call, bagitau dia accident semua.. Aku dah start pelik la apahal benda camtu nak mengadu kat laki aku plak? Bini dia mana?? Bila aku tanya tu baruuuuu lah En. Hubby bukak story..

Rupanya mangkuk ini dah ceraikan bini dia dengan TALAK 3 kau tau! Lepas tu sekarang tengah gila talak.. Sama je laki-bini.. Dok aktif mencari siapa-siapa yang sanggup nak jadi CINA BUTA! Yang paling aku hangen tu, dia boleh tanya laki aku untuk jadi cina buta ni..! Pungkoq la! Meh sini aku tunjal bijik mata sket, biar ko jadi orang buta terus! Bodoh piang sungguh la! Tu la, masa bergaduh tak reti nak fikir.. Cakap ikut sedap telur tekakk je kan? Dah jadi macam ni baru nak menggelupur! Siap mangkuk ni dah planning cakap nak bawak nikah kat Thailand, lepas tu masuk Kelantan terus cerai.. Semua tanggung.. Amboih, banyak cantik muka.. Sukati je kan..

Aku dah siap warning En. Hubby, jangan nak ambik pot pasal ni.. Jangan pandai-pandai nak subahat pulak pergi tolong carik volunteer.. Kang tak pasal dapat saham akhirat sama-sama.. Kalau saham baik takpe, ni saham tak elok.. Haishh, jauhkan la..

Aku siap pergi google hukum Cina Buta ni, bagi kat En. Hubby.. Dah baca baru dia takut.. Terus call kawan dia cakap tak boleh nak tolong.. Cuma En. Hubby sempat jugak la nasihat suruh kawan aku tu taubat semua.. Anggap je la jodoh dah tak panjang.. Tapi, aku macam terkejut jugak.. Betul rupanya benda macam ni happen ye? Tapi of course la pernah happen kan, kalau tak takkan la wujud term cina buta ni pulak kan? Meh sini aku tempek sikit hukum cina buta ni.. Kita tau haram je kan? Aku lepas baca ni pun baru tau.. Rupanya, kalau buat cina buta ni, even lelaki tu dah ceraikan, and wife dengan exhusband ni kawen balik, perkahwinan itu tak sah.. Dianggap sebagai zina pulak tu! Na'uzubillah.. Eh, tercerita pulak! Heheh.. Takpe, sila la baca untuk tambah pengetahuan ye? :)

Kahwin Muhallil (Cina buta)

Tafsir Al-Quran

Surah Al-Baqarah : 230


Firman Allah SWT,

 
“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu, kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis eddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula ), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Itulah aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang mengetahui dan memahaminya.” (Al-Baqarah 230)

Huraian

Ayat ini turun berkaitan dengan kisah ‘Aisyah binti Abdul Rahman yang telah diceraikan oleh suaminya Rifa’ah bin Wahab dengan talak tiga. Beliau kemudiannya berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubair al-Qurazi. Malangnya beliau juga turut diceraikan oleh suami keduanya itu. Setelah itu dia telah datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Ya Rasulullah, Dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi) telah menceraikan aku sebelum menyentuhiku (yakni bersetubuh). Bolehkan aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama.. Baginda saw menjawab : Tidak boleh selagi tidak di sentuh (yakni bersetubuh dengan isteri kedua).

Berdasarkan ayat di atas, ulama feqah sepakat, sekiranya si suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, si suami itu tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan suami yang baru melalui perkahwinan yang diiktiraf syariat, sah dan bertujuan kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhallil). Dan berdasarkan hadis di atas perkahwinan dengan suami kedua itu hendaklah berlaku dukhul iaitu jimak.

Jika berlaku penceraian dengan suami kedua (penceraian yang tidak dirancang), setelah tamat eddah maka bolehlah bekas suaminya yang pertama dahulu mengahwininya semula dengan akad nikah dan mahar yang baru. Dan suami pertama akan kembali memiliki tiga talak sekaligus memadamkan talak yang lalu. .

Hal ini berbeza dengan penceraian talaq satu dan talak dua, menurut jumhur (Maliki, Syafie dan Hanbali) perkahwinan kali kedua dengan bekas isteri yang dicerai talak satu atau dua tidak akan memadamkan talak terdahulu. Ini kerana perkahwinan dan persetubuhan dengan suami kedua tidak diperlukan untuk menghalalkan dirinya kepada suami pertama.

Adapun perkahwinan muhallil yakni perkahwinan yang dirancang agar bekas isteri yang dicerai dengan talak 3 boleh kembali kepada bekas suaminya yang pertama setelah berlaku penceraian dengan suami kedua, perkahwinan seperti ini adalah haram, batil dan tidak sah. Jika berlaku juga perkahwinan dengan bekas suami pertama dengan cara ini, maka perkahwinan itu tidak sah dan ia di anggap sebagai perbuatan zina. Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw,

ألا أخبركم بالتيس المستعار ؟ قالو : بلى يا رسول الله قال : هو المحلل ,
لعن الله المحلل والمحلل له

Maksudnya : Mahukah kamu jika aku memberitahu siapakah orang yang paling keji lagi hina ? Para sahabat menjawab : Ya, ya Rasulullah. Baginda berkata : Ia adalah al-Muhallil (lelaki yang mengahwini seorang perempuan yang telah dicerai talak tiga dengan tujuan menghalalkannya semula kepada bekas suaminya selepas ia menceraikan) Allah melaknat al-Muhallil dan al-Muhallal lahu (suami yang menjatuhkan talak tiga kemudiannya ingin merujuk semula bekas isterinya melalui perkahwinan muhallil.

Kata Saidina Umar al-Khattab r.a, Tidak dibawa kepadaku muhallil atau muhallal lahu melainkan akan aku rejam kedua-duanya. Abdullah bin Umar ketika menerangkan maksud ayahnya : beliau menjawab kedua-duanya adalah penzina.

Di akhir ayat 230, Allah SWT mengistiharkan bahawa segala hukum-hukum tersebut adalah batasan Allah SWT yang diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada golongan yang tahu akan faedahnya dan sedar terhadap kepentingannya.

Wallahualam.
Kuliah Maghrib,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Rujukan,
Tafsir Ahmad Sonhadji, Al-Munir dan Az-Azhar.


No comments: